Friday, July 4, 2014

Kasih Yang Kudamba Bab 2 - As Samsudin

Sumber: http://iammasitahsamsudin.blogspot.com


[BAB 2]


Zakuan melihat jam di dinding. Sudah pukul 6:30 minit petang. Dia teringatkan janjinya untuk makan malam bersama ibu kesayangannya di rumah. Zakuan pantas mengemas meja kerjanya. Dia harus segera beredar. Tiba-tiba dia rasa rindu dengan masakan ibunya. Sedang dia berjalan melintasi ruang pejabatnya, dia terdengar bunyi ketukan papan kekunci. Dia cuba mengintai, dilihatnya Emylia sedang kusyuk menaip sesuatu. Matanya terpandangkan fail-fail yang setia di sisi. Zakuan tersenyum panjang, tercuit dengan kepatuhan Emylia. Dia meneruskan langkahnya dengan senyap. Tidak mahu Emylia sedar akan kehadirannya.

Kurang dari 30minit, Zakuan sudah pun memasuki pagar biru rumah ibunya. Aroma Ikan Patin Masak Tempoyak kegemarannya menerobos memasuki rongga hidungnya. “Assalamualaikum, Ibu.” Zakuan terus ke dapur mencari ibunya. Matanya tertancap pada periuk yang setia di atas dapur. Zakuan membuka tudung. Dia berkira-kira untuk menyudu sedikit masakan tersebut.

“Zakuan.” Panggilan lembut Puan Zakiah membantutkan hasratnya. Zakuan berpaling. Dia menyalami tangan ibunya sambil tunduk mengucup penuh kasih. “Buat apa tu?“ Soal ibunya penuh curiga. “Mana ada apa-apa ibu. Zakuan cuma nak tengok, dah siap ke belum masakan ibu ni.” Zakuan tersengih memandang ibunya. Puan Zakiah cuma menggeleng-gelengkan kepala. Masak benar dia dengan perangai anak terunanya itu. “Sudahlah tu. Pergi mandi dulu. Lepas solat baru kita makan sama-sama.”

Zakuan beredar ke biliknya. Dia merebahkan badannya sebentar, melonggarkan urat-urat yang seharian bekerja keras. Tiba-tiba matanya tertancap pada sekeping potret yang indah menghiasi ruang kamarnya. Zakuan lantas mencapai potret tersebut. Dia merenung indah mata bundar itu. Mata yang menyimpan seribu satu duka lara. Pandangannya bertukar menjadi sayu. Dia membawa potret itu ke dadanya.

“Zakuan.” Panggilan Puan Zakiah mengejutkannya. Cepat-cepat dia menyorok potret tersebut di bawah bantal. “Sekejap ibu. Nanti Zakuan turun.” Zakuan terus berlari ke bilik air. Selesai solat, dia terus turun ke bawah. Kelihatan Puan Zakiah sabar menantinya di meja makan.

“Maaflah ibu. Zakuan berdoa panjang tadi.” Helah Zakuan. “Oh, berdoa panjang rupanya. Ibu ingat anak ibu ni dah kenyang merenung gambar buah hati.” Zakuan terbatuk-batuk kecil. “Ibu dah tahu?” Dia pantas bertanya. Puan Zakiah tidak menjawab soalan Zakuan. Dia menyendukkan nasi ke dalam pinggan mereka berdua. “ Ibu...” Zakuan kaget dengan kedinginan ibunya.

“Doa cepat. Ibu dah lapar ni.” Balas Puan Zakiah. Sengaja membiarkan Zakuan dengan teka-tekinya. Bukan dia tidak tahu akan kehadiran gadis manis yang telah mencuri hati anaknya namun dia tidak mahu terlalu mendesak. Lambat laun Zakuan pasti akan bercerita. Biarlah. Masanya pasti tiba.

Usai makan malam, Zakuan terus naik ke bilik. Dia harus tidur secukupnya memandangkan ada mesyuarat penting esok pagi. Tiba-tiba dia teringatkan Emylia. “Mudah-mudahan siaplah laporan yang aku minta tu.” Zakuan berdoa dalam hati. Minda separa sedarnya mula mengambil alih. Bayangan wajah Emylia semakin lama semakin kabur. Akhirnya Zakuan terlena.

BERSAMBUNG...

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...