Wednesday, July 30, 2014

Salam Eid Mubarak Syawal 1435H.

Teks: D' Rauna Gallery
Foto: Koleksi Peribadi

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir Batin
Salam Eid Mubarak Minal Aidin Wal Faizin
Salam Lebaran
Selamat beraya...○♥○

Kami di D' Rauna Gallery mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI MAAF ZAHIR BATIN kepada seluruh umat Islam yang menyambut hari raya, teristimewa sekali kepada fans D' Rauna Gallery. Jangan lupa bermaaf-maafan sesama kita. Buang yang keruh ambil yang jernih. Yang jauh kita dekatkan, yang renggang kita rapatkan. Semoga kita semua bergembira di hari raya.

Dalam kita bergembira, D' Rauna Gallery tidak lupa menyediakan bahan bacaan untuk para tetamu. Majalah edisi khas Syawal penyeri hari raya. Bacalah walau di mana sahaja kita berada.





Salam Eid Mubarak Syawal 1435H.

~wit♥~

Thursday, July 17, 2014

Kasih Yang Kudamba Bab 4 - As Samsudin

Sumber: http://iammasitahsamsudin.blogspot.com


[BAB 4]

Emylia meninggalkan tempat kerjanya sebaik sahaja waktu bekerja tamat. Bungkusan hadiah Zakuan turut dibawanya, disorok di dalam beg kertas berisi baju tebalnya. Emylia tersenyum sepanjang perjalanan. Dia merasa tidak sabar untuk mengetahui isi bungkusan tersebut. Sebaik sahaja sampai di banglo tiga tingkat milik ayahnya, dia terus mengunci diri di dalam bilik.

Emylia membuka bungkusan tersebut. Kotak comel itu dibeleknya. “Hmm, comelnya kotak ni. Jangan-jangan hadiah untuk kekasih hati. Cincin kot...“ Emylia mengomel sendiri. “Emylia, berdosa tau apa yang kamu buat ni.” Tiba-tiba hatinya berbisik. Pergerakan tangan Emylia terhenti. Dia termenung seketika, memberi ruang pada akalnya untuk berfikir. “Ala, aku bukan nak curi pun. Pinjam sekejap saja. Esok lusa aku letak balik la. Saja nak ajar sikit si Zakuan tu.” Emylia tetap nekad dengan tindakannya.

Dia terus membuka kotak tersebut. Hatinya terpegun melihat loket emas yang tersimpan di dalamnya. “Cantiknya loket ni. Ukirannya unik sekali. Tak pernah pula aku tengok ukiran sebegini di mana-mana kedai emas. Pasti rekaan sendiri. Eh, apa pula ni?” Emylia menarik sekeping kad kecil yang terselit di dalam bungkusan tersebut. Kad apa pula ni. Emylia menjadi semakin tertarik untuk mengetahuinya. Eh, ada sajaklah. Emylia semakin teruja.

Ibu...Biar seribu kepayahan mendatangBiar sejuta ujian silih bertandangTiada apa yang mampu menghalangKau tetap menghayun langkahmu seorang

Ibu...Dalam senyummu kau sembunyikan lelahmuDalam keceriaanmu kau sorokkan dukamuDalam tidurmu kau mimpikan azammuDalam langkahmu kau temukan harapan baru

Ibu...Bukan intan permata yang kau harapkanBukan wang berjuta yang kau idamkanBukan juga mengharap namamu dijulangTapi kejayaan yang bakal anakmu genggam

Ibu...Kaulah ratu syurga hatikuPenawar segala kesedihan di kalbuKan kusayang dirimu selaluHingga ke akhir detik nafasku

Ibu...Di hari yang penuh bermakna iniKupanjatkan doa setulus hatiDengan limpahan kasih sejatiSemoga Dia sentiasa merahmati

Selamat Hari Lahir Ibu...Kan ku ada untukmu selalu...

Emylia ternganga. Sajak ni... aku kenal sajak ni. Ini sajak Redza. Macamana pula sajak Redza boleh ada dengan Zakuan? Emylia terpinga-pinga. Denyut nadinya bergerak laju. Aduh... apa dah jadi ni. Zakuan...? Redza...? Apa kaitan antara mereka berdua? Adik-beradik? Ish... kalau adik-beradik pun takkanlah mereka harus berkongsi sajak yang sama. Atau... Zakuan dan Redza adalah orang yang sama?

Emylia memicit-micit dahinya, kepalanya terasa sakit berdenyut-denyut. Akal warasnya tidak dapat berfikir dengan betul. Dia merebahkan tubuhnya ke katil. Tiba-tiba dia terkenangkan perbualannya dengan Redza seminggu yang lalu.

Awak buat apa tu?

Saya tengah tulis sajak ni. Untuk ibu saya... kan tak lama lagi hari lahir dia, jadi saya ingat nak hadiahkan sajaklah untuk dia. Mesti dia suka.

Eh, awak nak tulis sajak? Awak pandai ke...? Nanti jadi syair pula...

Eh, awak jangan pandang saya sebelah mata tau. Saya ni ada banyak bakat terpendam. Awak saja yang tak tahu!

Oh, ye ke. Cuba awak baca sikit saya nak dengar :D

Kenapa awak ketawa? Sekejap yer... saya send kat awak. Ha... jangan nangis pulak nanti...

Eh, kenapa pula saya nak nangis? Tak kuasalah :D

Yalah, kan sajak saya ni terbaik. Boleh menyentuh kalbu;)

Yalah, yalah. Cepatlah hantar, tak sabar dah ni nak nangis :D

Hantar dah... ha macamana? Terharu tak?

Wah, tak sangka betul awak pandai tulis sajak. Mesti awak sayang sangat kan kat ibu awak kan. Tak sabar saya nak jumpa dia. Harap-harap dia pun boleh sayang saya macam dia sayang kat awak. Saya tahu ibu awak mesti sayang saya.....

Awak jangan risau ya. Saya pasti ibu saya akan menyayangi awak, mengasihi awak dengan sepenuh hatinya, mencurahkan kasih yang awak damba-dambakan itu. Saya yakin... awak jangan risau yer...

Emylia tersedar dari khayalannya. Terasa ada air hangat meleleh di pipi. Cepat-cepat dikesat air mata itu. Namun semakin dikesat semakin laju ia mengalir. Emylia menangis teresak-esak. Dia teringatkan Redza, terasa amat rindu pada lelaki itu. Lelaki yang telah berjaya menakluk hatinya dengan kasih sayangnya yang menggunung. Biarpun mereka tidak pernah bertemu muka namun dia yakin akan ketulusan hati lelaki itu. Redza sering bercerita tentang ibunya, sehinggakan hatinya terasa amat dekat dengan wanita itu. Kasih sayang mereka turut meresap jauh ke lubuk hatinya.  

“Macamana kalau hadiah ini memang untuk ibu Redza? Dan Zakuan... jangan-jangan Zakuan hanya tolong ambilkan untuknya.” Argh, Emylia buntu. Benar-benar buntu. Pelbagai persoalan bermain di benaknya.

“Andai betullah hadiah ini kepunyaan Redza, pasti Redza kecewa dengan dirinya. Dan kalau ibunya tahu, pasti dia tidak dapat menerimaku.” Emylia menangis teresak-esak. Dia merasa amat sedih pabila mengenangkan kasih seorang ibu yang amat dia dambakan akan hilang berlalu sekelip mata...tidak mungkin akan hadir untuk dirinya.

“Ibu... ibu....” Emylia memejamkan matanya. Rapat.

BERSAMBUNG...

Wednesday, July 16, 2014

Memoir PBAKL 2014 - Part 2

Teks: D' Rauna Gallery
Foto: Koleksi Peribadi

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Hello pembaca semua...

Okey, pengembaraan diteruskan untuk hari ke-2. Seawal jam 9 pagi saya sudah pun berada di PWTC, keseorangan sebab ceq Miza dah balik. Tapi no hal sebab bila dah ada lam PWTC tu, kita bagaikan terpisah dari dunia luar. Dunia buku sudah cukup memberi satu kehidupan. Tak caya...? Ha... kalau dok lam PWTC tu, kalau kat luar hujan lebat, kilat sabung-menyabung dan guruh berdentam-dentum pun tak sedar. Tahu!! Hehe....

Okey, pertama sekali saya mengembara ke tingkat atas. Dari satu tingkat ke satu tingkat, dari satu booth ke satu booth. Walaupun masih awal namun setiap booth penuh dengan pengunjung. Masing-masing datang awal. Tapi still masih boleh berjalan sambil mendepangkan tangan. Hehe... faham ke idok...? Kira semua booth saya lalu sambil mencuci mata, yang mana bekenan saya akan berhenti belek buku. Tapi oleh kerana banyak sangat jalan/lorong, kadang-kadang lalu jalan yang sama dua tiga kali. Last-last sesat...last-last cari booth NB Kara pun xjumpa. Adoi la...

Tapi saya sempat jugalah jumpa novelis Fauziah Ashari yang popular dengan novel Ombak Rindu tu. Tetap maintain macam dulu, kecil molek orangnya. Dan sempat grab novel beliau yang bertajuk Dan Sepi Pun Berlalu. Novel ni actually sambungan novel Pergilah Sepi terbitan Alaf21. Dah lama keluar tapi saya baru nak beli. Ala, kira okey la tu kan....


Pastu jalan-jalan lagi, singgah pula di booth Karya Seni. Tahun ni booth Karya Seni meriah sangat. Dah la besar pastu set dia dihiasi indah. Siap boleh tengok wayang lagi. Masa tu ditayangkan sedutan filem Suami Aku Ustaz, adaptasi daripada novel Suami Aku Ustaz la. Lakonan mantap Nora Danish dan Adi Putra. Kira saya pun lepak sekali la kat situ sambil menonton. Memang rileks jer. Gambar kat bawah ni bukan skrin besar yang saya cerita tu tau, yang ni just untuk posing saja.



Okey, dah habis pusing kat booth Karya Seni saya pun tengok jam dah cukup masa untuk bertemu dengan Acik Lana. So saya pun bergegas ke booth Kaki Novel. Cepat2 cari novel terbaru Acik Lana berjudul Akadku Yang Terakhir dan juga novel Rose Harissa iaitu Guy Next Door. Masa ni ada orang dah start beratur tao untuk ambil tandatangan mereka. Jadi saya pun beratur sekalilah. Kira dapat kat barisan 10 yang pertama gak la. Best sangat jumpa Acik, ni dah kali kedua jumpa. Macam biasa Acik memang friendly. Siap dapat button badge mulut merah lagi :) Dengan Rose Harissa pula first time jumpa tapi dia memang best!


Kalau nak tahu, KN bagi diskaun best sangat untuk semua novel. Ya la, novel KN kan mahal jadi masa inilah kita boleh beli lebih sikit. Ada novel tu saya beli RM10 ja satu. Memang berbaloi sangat.


Lepas tu saya terus pecut ke booth Kumpulan Media Karangkraf. Kemarin dah pergi tapi belum shopping habis lagi, renew langganan dan beli novel yang tertentu jer dulu (novel yang nak amik tandatangan penulis). So hari ini baru nak shopping betul-betul. Tapi macam biasa, ari ni pun ada sesi bertemu penulis. Jadi kena beli novel penulis tu dulu baru leh serbu diaorang. Memandangkan sesi tu baru bermula jadi masa banyak lagi. Boleh belek2 buku dengan tenang. Aiseh... actually tak tenang mana pun. Orang punya la ramai sampai penin dah kepala den. Hmmm...

Masa tengah round2 tu ternampak novelis A. Darwisy. Nampak macam dia dah nak balik. So apa lagi, cepat2 la tahan dia. Kali ni dia keluar dengan novel terbaru berjudul Kala Senja Dia Datang bersama beberapa penulis lain. Saya belum beli sebab tak berapa minat genre seram nih. Tapi novel Pudina Cinta dah beli tau. Dan sempat jugalah jumpa novelis Hasrudi Jawawi, memang teringin sangat nak jumpa dia sebab dah tersuka sejak baca novel dia yang bertajuk Cucur Bawang Kopi O. Memang kelakar habis. Pastu jumpa RAM kejap. RAM ni dah selalu jumpa. Hehe..


Oleh sebab ramai sangat orang, saya pun dah pening kepala. Rasa dah berpusing2. Jadi saya nak balik hotel dulu. Nanti petang saya datang balik sebab dah janji nak jumpa my fren aka penolong editor majalah Nur. Bukan itu jer, ada banyak lagi event yang best petang nanti kat booth Karangkraf.

Sebelum balik kita layan dulu perut yang dah berlagu riang ria. Menu macam biasa la, nasi lemak yang saya suka tu. Dua bungkus baru cukup tau. Tapau jer sebab nak makan kat hotel. Okey, kita balik dulu. Jumpa lagi di Part 3.

Adios.

~wit♥~

Tuesday, July 8, 2014

Koleksi PBAKL 2014

Teks: D' Rauna Gallery
Foto: Koleksi Peribadi

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Hello pembaca semua...

Inilah dia hasil pancingan semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014 yang lalu. Hanya beli apa yang perlu dan apa yang ingin dibaca. Tidak lebih dan tidak kurang, sesuai dengan budget yang ada. Seperti biasa novel kreatif tetap menjadi pilihan utama. Penulis-penulis seperti Anis Ayuni, RAM, Dhiya Zafira, Acik Lana, Fauziah Ashari, Hasrudi Jawawi dan Siti Rosmizah tetap menjadi pilihan. Selain itu, saya juga tidak melepaskan peluang untuk berkenalan dengan karya baru daripada penulis baru. Ada di antara mereka sudah mempunyai beberapa buah novel tetapi inilah kali pertama saya membeli hasil karya mereka. Kira baru hendak berkenalan. So selamat berkenalan kepada Nuroll Shazlinda Hairul, Emma Maizura, Murni Aqila, Rose Harissa dan ramai lagi.



Selain itu, novel remaja, novel kanak-kanak, buku umum, buku resepi dan majalah turut menjadi pilihan. Semuanya best-best belaka. Dan yang penting semuanya mengikut citarasa saya dan sudah pasti saya akan berkongsi dengan anda semua.




Bukan itu sahaja, saya turut mendapat buku percuma daripada penerbit-penerbit buku tertentu. Rasanya hadiah sebab saya beli banyak kot. Best juga kan... boleh tambah koleksi. Contohnya buku resepi ini daripada Grup Karangkraf.


Okeylah, buku-buku ini sedang menunggu giliran untuk disusun di rak buku D' Rauna Gallery. Ambil masa sikit sebab nak kena rekod dulu.

Anyway, teruskan menyokong D' Rauna Gallery.

~wit♥~

Friday, July 4, 2014

Kasih Yang Kudamba Bab 3 - As Samsudin

Sumber: http://iammasitahsamsudin.blogspot.com


[BAB 3]

Zakuan menarik nafas lega. Pembentangan laporan prestasi syarikat berjalan lancar. Tan Sri Hamley dan semua ahli lembaga pengarah memuji-muji kewibawaannya. Zakuan tersenyum senang. Matanya melilau mencari kelibat Emylia. Dia ingin berterima kasih kepada Emylia. Laporan yang disediakannya amat kemas dan terperinci. Padat dan tepat. Benar-benar di luar jangkaannya.

Zakuan melihat cube Emylia kosong tidak berpenghuni. Mejanya kemas dan teratur. “Dia cuti ke hari ni?” Zakuan hairan. Dia kembali menapak ke biliknya. Interkom ditekan. Suara lembut Azrin menerjah gegendang telinganya. “Emylia tak masuk kerja hari ini?” Zakuan terus menyoal. “Dia ambil cuti kecemasan setengah hari. Petang baru dia masuk. Encik Zakuan nak pesan apa-apa?” Azrin dedikasi dengan tugasnya . “Oh, tak apa Azrin. Terima kasih.”

Zakuan menyandarkan tubuhnya ke kerusi. Dia merasa nyaman. Tiba-tiba matanya terpandangkan cahaya berkelip-kelip di skrin komputernya, isyarat dari Yahoo Messenger, menandakan ada mesej yang belum dibaca. Tangannya pantas menekan butang open. “Hanna!” Sebaris nama terpacul dari bibirnya. “Dihantar 10 minit yang lalu.” Zakuan menepuk dahi. Hanna menghantar mesej ketika dia sibuk mencari Emylia. Zakuan menaip sesuatu lalu menekan butang reply. Dia sabar menunggu, mengharap status Hanna akan bertukar menjadi online. Namun hampir 15 minit berlalu, Hanna tetap sepi.

Dengan hampa, dia menutup skrin komputer.Perutnya sudah mula berkeroncong lagu Justin Bieber. Telefon bimbitnya dicapai. Dia berkira-kira untuk makan tengahari di Restoran Inai yang terletak berhadapan dengan bangunan pejabatnya. Pasti hari ini ada Asam Pedas Ikan Pari. Zakuan tersenyum, memikirkan sahaja sudah cukup membuatkannya terliur. Langkahnya dipercepat.

“Assalamualaikum Zakuan. Awal kamu hari ini.” Puan Suraya pemilik Restoran Inai menyapanya. Wanita pertengahan abad yang ayu berbaju kurung pahang sudah dianggap seperti ibunya sendiri. Hubungan mereka amat rapat, persis ibu dan anak. Manakan tidak, boleh dikatakan hampir setiap hari Zakuan menikmati makan tengaharinya di situ. Masakan Puan Suraya amat menepati seleranya. Sesedap masakan ibunya.

“Waalaikumsalam. Macamana tak awal Umi. Bau asam pedas Umi sampai kat atas tu.” Balas Zakuan sambil memuncungkan mulutnya. Puan Suraya tergelak kecil. “Ada-ada ajelah kamu ni Zakuan. Ha, tu dia asam pedas kesukaan kamu tu. Kamu makanlah dulu. Umi ada kerja nak buat ni.” Zakuan menghantar Puan Suraya dengan senyuman mesra.

Sedang asyik menikmati hidangan tengahari, telefon bimbitnya berbunyi. Tertera nama Azrin di wall i-phone miliknya. “Yes Azrin. Anything?” Zakuan menghentikan suapannya. “Maafkan saya mengganggu. Ada barang untuk Encik Zakuan dari Flower Jewellery. Katanya, barang ini perlu diterima oleh Encik Zakuan sendiri.” Zakuan berfikir sejenak, cuba mengingati kembali kalau-kalau dia ada memesan sesuatu. “Oh ya Azrin, biar saya bercakap dengannya.” Pinta Zakuan setelah mindanya mengimbas sesuatu.

Setelah memberi kebenaran kepada Azrin untuk menerima bagi pihaknya, Zakuan pantas menghabiskan hidangan tengaharinya. Dia tersenyum sendiri mengenangkan hadiah yang telah ditempah khas buat ibunya sempena hari lahir yang ke lima puluh lima. Esok adalah hari lahir Puan Zakiah. Dia telah berpakat dengan adiknya untuk mengadakan satu majlis buat ibu mereka. Pastinya hadiah itu akan menjadi kejutan yang amat bermakna. Zakuan tersenyum bahagia. Tak sabar untuk melihat reaksi ibunya esok.

Usai makan tengahari, Zakuan terus menuju ke pejabatnya. Dia tercari-cari bungkusan hadiah ibunya di atas meja Azrin namun hampa. Dia menapak ke biliknya dan melihat ada sebuah bungkusan di situ. “Pasti itu hadiahnya,” desis Zakuan. Zakuan lantas membuka kotak tersebut. Demi terpandangkan sahaja kilauannya yang memukau mata, dia tersenyum kecil. Sedang dia cuba untuk menyimpan bungkusan tersebut ke dalam beg, pintu biliknya diketuk. Terjengul kepala Azrin menghentikan gerak tangannya. “Dah lewat sepuluh minit untuk mesyuarat ni, semua orang dah tunggu.” Zakuan pantas melihat jamnya. “Alamak, saya langsung tak sedar.” Zakuan meletakkan kembali bungkusan hadiah tersebut di atas meja. Dia mencapai diari dan bergegas mengekori Azrin.

Ketika itu juga, Emylia berjalan lenggang-lenggok memasuki ruang pejabatnya. Ketika melintasi bilik Zakuan, hatinya bagaikan terpanggil untuk mengintai bilik ketuanya itu. Sedang dia mengintai-intai, tiba-tiba matanya tertancap pada bungkusan beg kecil yang indah dihiasi reben yang terletak di hujung meja Zakuan. Hadiah apa pula tu? Perasaan ingin tahu membuak-buak di dalam dadanya. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan, setelah memastikan tidak ada sesiapa yang melihatnya, Emylia pantas menyelinap ke dalam bilik sederhana besar itu.

Beg kecil itu dibuka,. Dilihatnya sebuah kotak comel dihiasi reben merah. Emylia tersenyum sumbing. Akal jahatnya menguasai minda. “Ya, inilah masanya yang aku tunggu-tunggu, saat untuk membalas dendam. Padan muka kau Zakuan. Pasti hadiah ini untuk orang yang begitu istimewa. Nasib kaulah, kan aku dah kata, ada ubi ada batas hari ini aku pasti balas.” Emylia tersengih gembira.



BERSAMBUNG...

Kasih Yang Kudamba Bab 2 - As Samsudin

Sumber: http://iammasitahsamsudin.blogspot.com


[BAB 2]


Zakuan melihat jam di dinding. Sudah pukul 6:30 minit petang. Dia teringatkan janjinya untuk makan malam bersama ibu kesayangannya di rumah. Zakuan pantas mengemas meja kerjanya. Dia harus segera beredar. Tiba-tiba dia rasa rindu dengan masakan ibunya. Sedang dia berjalan melintasi ruang pejabatnya, dia terdengar bunyi ketukan papan kekunci. Dia cuba mengintai, dilihatnya Emylia sedang kusyuk menaip sesuatu. Matanya terpandangkan fail-fail yang setia di sisi. Zakuan tersenyum panjang, tercuit dengan kepatuhan Emylia. Dia meneruskan langkahnya dengan senyap. Tidak mahu Emylia sedar akan kehadirannya.

Kurang dari 30minit, Zakuan sudah pun memasuki pagar biru rumah ibunya. Aroma Ikan Patin Masak Tempoyak kegemarannya menerobos memasuki rongga hidungnya. “Assalamualaikum, Ibu.” Zakuan terus ke dapur mencari ibunya. Matanya tertancap pada periuk yang setia di atas dapur. Zakuan membuka tudung. Dia berkira-kira untuk menyudu sedikit masakan tersebut.

“Zakuan.” Panggilan lembut Puan Zakiah membantutkan hasratnya. Zakuan berpaling. Dia menyalami tangan ibunya sambil tunduk mengucup penuh kasih. “Buat apa tu?“ Soal ibunya penuh curiga. “Mana ada apa-apa ibu. Zakuan cuma nak tengok, dah siap ke belum masakan ibu ni.” Zakuan tersengih memandang ibunya. Puan Zakiah cuma menggeleng-gelengkan kepala. Masak benar dia dengan perangai anak terunanya itu. “Sudahlah tu. Pergi mandi dulu. Lepas solat baru kita makan sama-sama.”

Zakuan beredar ke biliknya. Dia merebahkan badannya sebentar, melonggarkan urat-urat yang seharian bekerja keras. Tiba-tiba matanya tertancap pada sekeping potret yang indah menghiasi ruang kamarnya. Zakuan lantas mencapai potret tersebut. Dia merenung indah mata bundar itu. Mata yang menyimpan seribu satu duka lara. Pandangannya bertukar menjadi sayu. Dia membawa potret itu ke dadanya.

“Zakuan.” Panggilan Puan Zakiah mengejutkannya. Cepat-cepat dia menyorok potret tersebut di bawah bantal. “Sekejap ibu. Nanti Zakuan turun.” Zakuan terus berlari ke bilik air. Selesai solat, dia terus turun ke bawah. Kelihatan Puan Zakiah sabar menantinya di meja makan.

“Maaflah ibu. Zakuan berdoa panjang tadi.” Helah Zakuan. “Oh, berdoa panjang rupanya. Ibu ingat anak ibu ni dah kenyang merenung gambar buah hati.” Zakuan terbatuk-batuk kecil. “Ibu dah tahu?” Dia pantas bertanya. Puan Zakiah tidak menjawab soalan Zakuan. Dia menyendukkan nasi ke dalam pinggan mereka berdua. “ Ibu...” Zakuan kaget dengan kedinginan ibunya.

“Doa cepat. Ibu dah lapar ni.” Balas Puan Zakiah. Sengaja membiarkan Zakuan dengan teka-tekinya. Bukan dia tidak tahu akan kehadiran gadis manis yang telah mencuri hati anaknya namun dia tidak mahu terlalu mendesak. Lambat laun Zakuan pasti akan bercerita. Biarlah. Masanya pasti tiba.

Usai makan malam, Zakuan terus naik ke bilik. Dia harus tidur secukupnya memandangkan ada mesyuarat penting esok pagi. Tiba-tiba dia teringatkan Emylia. “Mudah-mudahan siaplah laporan yang aku minta tu.” Zakuan berdoa dalam hati. Minda separa sedarnya mula mengambil alih. Bayangan wajah Emylia semakin lama semakin kabur. Akhirnya Zakuan terlena.

BERSAMBUNG...

Thursday, July 3, 2014

Kasih Yang Kudamba Bab 1 - As Samsudin

Sumber: http://iammasitahsamsudin.blogspot.com


[BAB 1]

“Siapa awak nak arah-arah saya?” Jerit Emylia sambil menghempaskan fail-fail ke meja Zakuan. Habis jatuh berterabur semua fail-fail itu. Malah kertas kerja yang sedang elok dibelek oleh Zakuan terpelanting ke lantai. Zakuan mengurut dada. Terkejut dengan reaksi di luar kawalan Emylia. “Hmm, nampaknya angin puting beliung dah melanda.” Zakuan bermonolog sendiri. Dia melihat Emylia bagaikan singa yang ingin menerkam mangsanya. Matanya bulat memandang Zakuan.

“Hey, you tak dengar ke apa I cakap? Atau you sememangnya dah pekak?” Jerkah Emylia. Dia menjadi bebal melihat tingkah Zakuan yang acuh tak acuh itu. Darah panas menyerbu ke mukanya yang putih melepak bagaikan anak dara tionghua. Emylia semakin bebal apabila Zakuan tidak mengendahkannya. Tangannya pantas mengambil sebatang pen dan melontarkannya tepat ke dahi Zakuan.

“Ouch,” Zakuan memegang dahinya. Fikirannya serta-merta kembali ke alam nyata. Retina matanya bertaut dengan sorotan mata Emylia. Panah menikam terus ke lubuk hatinya. Zakuan mendapat kekuatan, dia bangun menghampiri Emylia. Semakin lama, semakin dekat.

Emylia terkasima. Haruman Dunhill Blue mengingatkannya pada seseorang. Ah, tak mungkin dia! Emylia mengusir andaian yang bertandang. Dia lantas menjauh. Zakuan berdehem beberapa kali, membetulkan urat kerongkongnya.

“Emylia Hanna Tan Sri Ahmad Hamley.” Zakuan menyebut yakin nama penuh Emylia. Sebaris nama yang sering menghiasi mimpi-mimpinya. Emylia gugup. Terasa indah sekali di pendengarannya. Namun dia tidak membiarkan dirinya tewas dengan mainan Zakuan. Dia yakin, Zakuan pasti ingin memanipulasinya.

“Awak sedar tak awak sedang bercakap dengan siapa? Saya ketua awak. Dan sekarang saya arahkan awak untuk siapkan laporan yang saya minta. Saya tak mahu tahu bagaimana, apa yang saya mahu laporan itu siap di atas meja saya esok tepat pukul 9 pagi.” Emylia terkejut. Dia tidak menyangka Zakuan berani memarahinya. Dia melihat Zakuan memulas tombol pintu lantas bayangnya menjauh.

Emylia menahan rasa. Geram apabila lidahnya kelu untuk membalas kata-kata Zakuan. “Dan lagi satu...” Emylia mengurut dada. Terkejut dengan kemunculan semula Zakuan. “Kutip semua fail-fail itu. Dan kemas balik meja saya!” Zakuan bersuara tegas.

Emylia semakin berang. Hey, dia ingat aku ni makcik cleaner ke apa. Tak boleh jadi ni. Emylia terus menghadang laluan Zakuan. Dia menolak tubuh Zakuan ke tepi. “Encik Zakuan, awak dengar sini baik-baik. Ya, awak ketua saya. Tapi awak jangan ingat awak ketua, awak boleh senang-senang nak arah saya. Ingat sikit, awak cuma makan gaji jer kat sini. Gaji awak pun papa saya yang bayar tau. Dan... rasanya awak tak lupa... nama saya Emylia Hanna Tan Sri Ahmad Hamley!”

Emylia berjalan keluar penuh gaya. Dia merasa puas. Hah, ambik kau Zakuan. Jangan ingat senang-senang kau nak buli aku. Emylia melabuhkan duduk. Cubicle kecil yang menempatkan dirinya dipandang sepi. Apalah malangnya nasib dia, sudahlah hanya diberi jawatan ciput di syarikat papanya, duduk pula di ruang pejabat yang jauh tersorok ke belakang sebaris dengan kerani bawahan, dan sekarang... dilonggokkan pula dengan kertas kerja yang memeningkan kepala. Ada ke patut Zakuan suruh aku menelaah semua fail-fail tu. Dia ingat aku nak ambik periksa ke apa. Emylia menggerutu dalam hati.

Emylia merupakan anak tunggal Tan Sri Hamley, pewaris Hamley Holding. Namun entah di mana silapnya, dia hanya diberikan jawatan sebagai pembantu. Papanya mahu dia belajar dari bawah, kenali semua pekerja dan kuasai selok belok perniagaan dahulu. Satu alasan yang tidak boleh diterima akal warasnya. Apa gunanya belajar sampai luar negara jika hanya nak jadi pembantu. Setakat SPM pun dah cukup. Emylia mendengus keras.

“Maaf Cik Emylia, Encik Zakuan minta saya serahkan semua fail-fail ini kepada Cik Emylia.” Azrin, setiausaha Encik Zakuan melemparkan senyum manis menampakkan lesung pipitnya. Emylia membulatkan mata. “Ini fail-failnya. Encik Zakuan pesan nakkan laporan itu esok pagi.” Belum sempat Emylia berkata, Azrin sudah pun menghilangkan diri. Ah, bos dan setiausaha sama sahaja. Dua-dua pun tak sedar diri. Emylia menahan hiba. Dia mencapai fail yang tertulis perkataan SULIT. Dia menyelak-nyelak halaman, meneroka isi kandungan, lantas menghidupkan komputer ribanya. Tangannya laju menaip. “Jaga kau Zakuan, ada ubi ada batas, esok juga aku balas!”

BERSAMBUNG...


Salam Ramadan Al-Mubarak 1435H

Teks: D' Rauna Gallery
Foto: Carian Google



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Hello pembaca semua...

Hari ini genap 5 Ramadan kita berpuasa. Terasa masa begitu cepat berlalu. Namun rasanya masih belum terlewat untuk D' Rauna Gallery mengucapkan Salam Ramadan Al-Mubarak dan Selamat Berpuasa kepada semua muslimin dan muslimat terutamanya fans D' Rauna Gallery. Semoga kita semua dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna.

Puasa bukan sahaja menahan diri daripada makan dan minum, bahkan juga daripada perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Jadi, jaga mata, jaga mulut dan jaga telinga. Dan jagalah semuanya. Yang paling penting sekali jangan culas solat kerana solat itu tiang agama. Jika tiada tiang bagaimana pahala puasa hendak berpaut. Pasti jatuh berderai dan akhirnya tiada apa yang tinggal untuk kita hitung di alam sana. Wallahualam.

Selamat berbuka dan selamat bersahur ^__^

 ~wit♥~

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...