Sumber: http://iammasitahsamsudin.blogspot.com/2014/01/ulasan-1-e-book-asas-blog-penulisan.html
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
E-Book Asas Blog Penulisan hasil nukilan Masayu Ahmad merupakan sebuah e-book yang memberi info tentang penghasilan sesebuah blog yang baik dan menarik. Mungkin ramai di antara kita yang tahu bagaimana untuk menghasilkan sebuah blog apatah lagi dengan teknologi masa kini yang memungkinkan segalanya di hujung jari namun, saya pasti tidak ramai yang mampu untuk menghasilkan sebuah blog yang berpengaruh dan dapat menarik ramai traffik untuk berkunjung. Justeru, e-book ini mengupas tentang penghasilan blog dari mula pemilihan nama dan tajuk blog sehinggalah ia mampu berdiri teguh dan menjadi rujukan khusus untuk pembaca.
Bab demi bab disusun secara sistematik untuk memberi panduan yang terbaik buat pembaca terutamanya bagi mereka yang baru mengenali dunia blog. Bukan sahaja info tertentu, bahkan setiap bab turut diselitkan dengan tip-tip penulisan berkaitan yang sudah pasti merupakan rahsia kejayaan penulis dalam bidang penulisan.
Jika melalui blog terdahulu, saya sering menulis secara santai menggunakan bahasa pasar dan bahasa yang bercampur aduk (Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris) tetapi kini saya memahami akan kepentingan menulis menggunakan gaya bahasa yang betul. Biarpun penulisan secara santai namun harus menggunakan tatabahasa yang betul.
Bukan itu sahaja, e-book ini turut memuatkan panduan untuk menjana idea agar kita dapat menulis setiap hari. Menulis secara konsisten amat penting untuk menarik keghairahan dan kesetiaan pembaca. Memahami dengan mendalam apa yang ingin ditulis juga membantu kita fokus dan sentiasa teruja untuk menulis sesuatu yang segar dan mengandungi idea-idea baru.
Salah satu tip yang amat saya suka ialah menulislah secara spontan yakni catat apa sahaja yang terlintas di kepala. Dari catatan tersebut, pindahkan pula ke dalam blog dan terus publish. Abaikan dahulu seandainya penulisan tersebut salah dari segi tatabahasa atau susun aturnya. Namun, apabila minda kita sudah kembali tenang, lihat kembali entri tersebut, sunting dan tambah baikkan agar ia menjadi sebuah entri yang sempurna.
Selain itu, e-book ini turut memuatkan tentang ciri-ciri blog yang berpengaruh. 10 ciri yang dimuatkan amat berguna untuk kita dan menjadi rujukan terbaik dalam menghasilkan blog yang akhirnya boleh membawa kepada penjanaan wang. Salah satunya, blog yang berpengaruh ialah blog yang mesra pembaca, tidak ada gajet atau bling-bling yang melampau sehingga melambatkan proses `loading' dan mengganggu pembaca.
Apa yang penting ialah pemikiran untuk berjaya. Kesan peluang melalui matlamat samada matlamat jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang. Gunakan dan rebut setiap peluang yang muncul di depan mata mahupun di sekeliling kita. Jangan biarkan halangan minda negatif terus mempengaruhi dan merosakkan pemikiran kita sehingga kita gagal mencapai target yang telah ditetapkan.
Melalui e-book ini juga, kita disogok dengan pemikiran bahawa pembaca adalah pelanggan, pelanggan adalah wang dan wang adalah motivasi. Jadi kita harus mengekalkan kesetiaan pelanggan dengan memberi informasi bertepatan dengan kehendak pembaca dan menjadi agen penyelesai masalah mereka.
PEMBACA = PELANGGAN = WANG = MOTIVASI
Sememangnya, e-book ini banyak manfaatnya kepada saya. Justeru saya amat berterima kasih kepada Masayu Ahmad di atas perkongsian ilmu yang amat berharga ini. Kepada semua blogger di luar sana, anda perlu mendapatkan e-book ini seandainya anda mahu blog anda menjadi blog yang berpengaruh dan disukai ramai. E-book ini boleh dibeli di sini.
Selamat Maju Jaya dan Selamat Berblogger.
~wit♥~
No comments:
Post a Comment