Thursday, July 17, 2014

Kasih Yang Kudamba Bab 4 - As Samsudin

Sumber: http://iammasitahsamsudin.blogspot.com


[BAB 4]

Emylia meninggalkan tempat kerjanya sebaik sahaja waktu bekerja tamat. Bungkusan hadiah Zakuan turut dibawanya, disorok di dalam beg kertas berisi baju tebalnya. Emylia tersenyum sepanjang perjalanan. Dia merasa tidak sabar untuk mengetahui isi bungkusan tersebut. Sebaik sahaja sampai di banglo tiga tingkat milik ayahnya, dia terus mengunci diri di dalam bilik.

Emylia membuka bungkusan tersebut. Kotak comel itu dibeleknya. “Hmm, comelnya kotak ni. Jangan-jangan hadiah untuk kekasih hati. Cincin kot...“ Emylia mengomel sendiri. “Emylia, berdosa tau apa yang kamu buat ni.” Tiba-tiba hatinya berbisik. Pergerakan tangan Emylia terhenti. Dia termenung seketika, memberi ruang pada akalnya untuk berfikir. “Ala, aku bukan nak curi pun. Pinjam sekejap saja. Esok lusa aku letak balik la. Saja nak ajar sikit si Zakuan tu.” Emylia tetap nekad dengan tindakannya.

Dia terus membuka kotak tersebut. Hatinya terpegun melihat loket emas yang tersimpan di dalamnya. “Cantiknya loket ni. Ukirannya unik sekali. Tak pernah pula aku tengok ukiran sebegini di mana-mana kedai emas. Pasti rekaan sendiri. Eh, apa pula ni?” Emylia menarik sekeping kad kecil yang terselit di dalam bungkusan tersebut. Kad apa pula ni. Emylia menjadi semakin tertarik untuk mengetahuinya. Eh, ada sajaklah. Emylia semakin teruja.

Ibu...Biar seribu kepayahan mendatangBiar sejuta ujian silih bertandangTiada apa yang mampu menghalangKau tetap menghayun langkahmu seorang

Ibu...Dalam senyummu kau sembunyikan lelahmuDalam keceriaanmu kau sorokkan dukamuDalam tidurmu kau mimpikan azammuDalam langkahmu kau temukan harapan baru

Ibu...Bukan intan permata yang kau harapkanBukan wang berjuta yang kau idamkanBukan juga mengharap namamu dijulangTapi kejayaan yang bakal anakmu genggam

Ibu...Kaulah ratu syurga hatikuPenawar segala kesedihan di kalbuKan kusayang dirimu selaluHingga ke akhir detik nafasku

Ibu...Di hari yang penuh bermakna iniKupanjatkan doa setulus hatiDengan limpahan kasih sejatiSemoga Dia sentiasa merahmati

Selamat Hari Lahir Ibu...Kan ku ada untukmu selalu...

Emylia ternganga. Sajak ni... aku kenal sajak ni. Ini sajak Redza. Macamana pula sajak Redza boleh ada dengan Zakuan? Emylia terpinga-pinga. Denyut nadinya bergerak laju. Aduh... apa dah jadi ni. Zakuan...? Redza...? Apa kaitan antara mereka berdua? Adik-beradik? Ish... kalau adik-beradik pun takkanlah mereka harus berkongsi sajak yang sama. Atau... Zakuan dan Redza adalah orang yang sama?

Emylia memicit-micit dahinya, kepalanya terasa sakit berdenyut-denyut. Akal warasnya tidak dapat berfikir dengan betul. Dia merebahkan tubuhnya ke katil. Tiba-tiba dia terkenangkan perbualannya dengan Redza seminggu yang lalu.

Awak buat apa tu?

Saya tengah tulis sajak ni. Untuk ibu saya... kan tak lama lagi hari lahir dia, jadi saya ingat nak hadiahkan sajaklah untuk dia. Mesti dia suka.

Eh, awak nak tulis sajak? Awak pandai ke...? Nanti jadi syair pula...

Eh, awak jangan pandang saya sebelah mata tau. Saya ni ada banyak bakat terpendam. Awak saja yang tak tahu!

Oh, ye ke. Cuba awak baca sikit saya nak dengar :D

Kenapa awak ketawa? Sekejap yer... saya send kat awak. Ha... jangan nangis pulak nanti...

Eh, kenapa pula saya nak nangis? Tak kuasalah :D

Yalah, kan sajak saya ni terbaik. Boleh menyentuh kalbu;)

Yalah, yalah. Cepatlah hantar, tak sabar dah ni nak nangis :D

Hantar dah... ha macamana? Terharu tak?

Wah, tak sangka betul awak pandai tulis sajak. Mesti awak sayang sangat kan kat ibu awak kan. Tak sabar saya nak jumpa dia. Harap-harap dia pun boleh sayang saya macam dia sayang kat awak. Saya tahu ibu awak mesti sayang saya.....

Awak jangan risau ya. Saya pasti ibu saya akan menyayangi awak, mengasihi awak dengan sepenuh hatinya, mencurahkan kasih yang awak damba-dambakan itu. Saya yakin... awak jangan risau yer...

Emylia tersedar dari khayalannya. Terasa ada air hangat meleleh di pipi. Cepat-cepat dikesat air mata itu. Namun semakin dikesat semakin laju ia mengalir. Emylia menangis teresak-esak. Dia teringatkan Redza, terasa amat rindu pada lelaki itu. Lelaki yang telah berjaya menakluk hatinya dengan kasih sayangnya yang menggunung. Biarpun mereka tidak pernah bertemu muka namun dia yakin akan ketulusan hati lelaki itu. Redza sering bercerita tentang ibunya, sehinggakan hatinya terasa amat dekat dengan wanita itu. Kasih sayang mereka turut meresap jauh ke lubuk hatinya.  

“Macamana kalau hadiah ini memang untuk ibu Redza? Dan Zakuan... jangan-jangan Zakuan hanya tolong ambilkan untuknya.” Argh, Emylia buntu. Benar-benar buntu. Pelbagai persoalan bermain di benaknya.

“Andai betullah hadiah ini kepunyaan Redza, pasti Redza kecewa dengan dirinya. Dan kalau ibunya tahu, pasti dia tidak dapat menerimaku.” Emylia menangis teresak-esak. Dia merasa amat sedih pabila mengenangkan kasih seorang ibu yang amat dia dambakan akan hilang berlalu sekelip mata...tidak mungkin akan hadir untuk dirinya.

“Ibu... ibu....” Emylia memejamkan matanya. Rapat.

BERSAMBUNG...

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...