Teks: D' Rauna Gallery
Foto: Koleksi Peribadi
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Hello pembaca semua...
Okay, hari ini saya ingin berkongsi tentang tips penjagaan buku. Tips ini memang menjadi amalan saya, yelah... kan buku saya banyak... dah tu pula saya kan buat sewa buku/pinjaman... jadi memang kena jaga betul-betul la. Baru boleh tahan lama... betul tak..? ;)
Mungkin tips yang saya nak kongsikan ini memang dah pun menjadi amalan pencinta-pencinta buku. Tapi saya tetap nak share juga... kalau ada yang lain nanti bolehlah kita berkongsi pandangan;)
Okay, jom kita tengok cara saya jaga buku saya.
1.
BALUT BUKU - balut buku dengan kemas menggunakan plastik buku. Membalut buku dapat memelihara kulit buku daripada rosak terutamanya di bahagian tepi-tepinya. Ia juga dapat mengelakkan buku kita terutamanya bahagian muka buku daripada terkena debu dan apa sahaja kekotoran. Pemilihan plastik juga amat penting. Pilihlah plastik yang berkualiti dan tahan lama. Plastik yang nipis dan berkualiti rendah mudah koyak dan cepat bertindak balas terhadap haba. Jadi, pilihlah plastik yang tahan lama untuk menjimatkan kos dan masa. Tak perlulah nanti asyik kena tukar plastik saja.
2.
ELAKKAN BUKU TERDEDAH KEPADA HABA PANAS - Elakkan daripada meletak buku di tepi tingkap atau tempat panas. Ini kerana ia boleh menyebabkan buku melengkung dan permukaannya tidak rata. Kadang-kala permukaan buku juga boleh kelihatan mengelembung dan plastiknya terkeluar. Bukan itu sahaja, buku yang terdedah lama kepada kepanasan juga boleh menyebabkan kertas menjadi kekuningan. Macam buku lama pula.
3.
SIMPAN BUKU DI RAK BUKU - Sediakan rak buku untuk menyimpan semua buku-buku anda. Jangan biasakan dengan meletak buku di merata-rata kerana ia boleh menyebabkan buku terlipat dan rosak sekiranya anda lambat menyusunnya. Dengan adanya rak, kita boleh terus menyimpan buku yang baru dibeli. Rak buku bercermin lebih elok kerana ia boleh mengelakkan buku daripada cepat berhabuk dan berdebu. Tapi kalau kurang budget tu,
macam saya la... guna rak biasa pun tak apa asalkan kita rajin mengelapnya.
4.
ATUR BUKU SECARA MENEGAK - Buku seelok-eloknya disusun secara menegak atau dalam erti kata lain secara berdiri. Ini akan memudahkan kita mengambilnya. Kalau ada buku yang terlebih tinggi dan tak muat rak buku kalau nak susun secara berdiri, barulah disusun secara baring. tapi kalau boleh elakkanlah.
5.
LETAK PENGHADANG BUKU - Jangan lupa letak penghadang buku tau sekiranya buku yang disusun belum penuh di rak. Ini sebenarnya untuk mengelakkan buku kita rosak sebab tanpa penghadang ia tidak dapat berdiri dengan baik. Lama-kelamaan buku kita boleh menjadi senget. Kan dah tak elok. Penghadang buku ni ada dijual di kedai buku, ada yang kecil dan ada yang besar. Pilihlah mengikut kesesuaian.
6.
SUSUN BUKU MENGIKUT KATEGORI - Sebaik-baiknya, susun buku mengikut kategori masing-masing supaya mudah untuk mencarinya pada masa hadapan. Kalau bilangan buku kita sedikit mungkin ia tak menjadi masalah tapi bayangkan kalau buku kita banyak, pasti susah nak cari satu-satu buku tu kan. Jadi, susunlah sebelum kita kena susun dua tiga kali ;) Kalau nak susun pun boleh ikut kreativiti kita. Macam saya, saya susun buku mengikut kategori. Ada novel kreatif, novel remaja, novel kanak-kanak, bacaan umum, resepi, majalah dan lain-lain lagi. Jadi bila nak cari buku resepi ke, terus pergi ke rak buku resepi saja. Memang mudah kan!
7.
LETAK LABEL PADA BUKU - Label ni maksud saya letak nombor siri pada buku. Ini juga bertujuan untuk memudahkan kita mencari sesuatu buku itu. Bila dah letak nombor siri tu, buatlah satu senarai buku-buku tersebut menggunakan Ms. Excel dengan memuatkan segala maklumat berkaitan buku tersebut. Contohnya, nombor siri, judul buku, pengarang, penerbit dan sebagainya. Bila nak cari buku, cuma check no siri dan terus pergi ambil di rak yang sepatutnya. Namun harus diingat, bila dah letak label tu... susun pun kena ikut label lah. Then only it will works. Okay.
8.
JANGAN LIPAT BUKU KETIKA MEMBACA - Sesetengah orang suka melipat buku ketika membaca. Ini adalah amalan yang tidak baik untuk buku. Kalau nak baca buku, bukalah betul-betul permukaannya tu. Lagi satu bila berhenti membaca, gunalah penanda buku. Jangan suka lipat mukasurat buku untuk menandanya ataupun meletak sebentar buku dengan membiarkannya terbuka menghadap lantai. Ini juga boleh menyebabkan binding buku menjadi rosak. Silap-silap boleh lekang pula.
9.
AWASI SERANGGA PEROSAK - Pastikan rumah sentiasa bersih dan bebas daripada serangga perosak seperti tikus, lipas, cicak dan anai-anai. Sekiranya rumah kita ada serangga tersebut, pastikan kita sentiasa menjaga rak buku kita dengan mengelapnya setiap hari. Kalau terlebih rajin, lap buku-buku kita satu-persatu.
10.
SAYANGI BUKU KITA - Ini adalah tips yang amat penting. Sayangi buku anda... bila dah sayang pasti kita akan menjaganya dengan sebaik-baiknya ^_^
~wit♥~