[BAB 3]
Zakuan menarik nafas lega. Pembentangan laporan prestasi syarikat berjalan lancar. Tan Sri Hamley dan semua ahli lembaga pengarah memuji-muji kewibawaannya. Zakuan tersenyum senang. Matanya melilau mencari kelibat Emylia. Dia ingin berterima kasih kepada Emylia. Laporan yang disediakannya amat kemas dan terperinci. Padat dan tepat. Benar-benar di luar jangkaannya.
Zakuan melihat cube Emylia kosong tidak berpenghuni. Mejanya kemas dan teratur. “Dia cuti ke hari ni?” Zakuan hairan. Dia kembali menapak ke biliknya. Interkom ditekan. Suara lembut Azrin menerjah gegendang telinganya. “Emylia tak masuk kerja hari ini?” Zakuan terus menyoal. “Dia ambil cuti kecemasan setengah hari. Petang baru dia masuk. Encik Zakuan nak pesan apa-apa?” Azrin dedikasi dengan tugasnya . “Oh, tak apa Azrin. Terima kasih.”
Zakuan menyandarkan tubuhnya ke kerusi. Dia merasa nyaman. Tiba-tiba matanya terpandangkan cahaya berkelip-kelip di skrin komputernya, isyarat dari Yahoo Messenger, menandakan ada mesej yang belum dibaca. Tangannya pantas menekan butang open. “Hanna!” Sebaris nama terpacul dari bibirnya. “Dihantar 10 minit yang lalu.” Zakuan menepuk dahi. Hanna menghantar mesej ketika dia sibuk mencari Emylia. Zakuan menaip sesuatu lalu menekan butang reply. Dia sabar menunggu, mengharap status Hanna akan bertukar menjadi online. Namun hampir 15 minit berlalu, Hanna tetap sepi.
Dengan hampa, dia menutup skrin komputer.Perutnya sudah mula berkeroncong lagu Justin Bieber. Telefon bimbitnya dicapai. Dia berkira-kira untuk makan tengahari di Restoran Inai yang terletak berhadapan dengan bangunan pejabatnya. Pasti hari ini ada Asam Pedas Ikan Pari. Zakuan tersenyum, memikirkan sahaja sudah cukup membuatkannya terliur. Langkahnya dipercepat.
“Assalamualaikum Zakuan. Awal kamu hari ini.” Puan Suraya pemilik Restoran Inai menyapanya. Wanita pertengahan abad yang ayu berbaju kurung pahang sudah dianggap seperti ibunya sendiri. Hubungan mereka amat rapat, persis ibu dan anak. Manakan tidak, boleh dikatakan hampir setiap hari Zakuan menikmati makan tengaharinya di situ. Masakan Puan Suraya amat menepati seleranya. Sesedap masakan ibunya.
“Waalaikumsalam. Macamana tak awal Umi. Bau asam pedas Umi sampai kat atas tu.” Balas Zakuan sambil memuncungkan mulutnya. Puan Suraya tergelak kecil. “Ada-ada ajelah kamu ni Zakuan. Ha, tu dia asam pedas kesukaan kamu tu. Kamu makanlah dulu. Umi ada kerja nak buat ni.” Zakuan menghantar Puan Suraya dengan senyuman mesra.
Sedang asyik menikmati hidangan tengahari, telefon bimbitnya berbunyi. Tertera nama Azrin di wall i-phone miliknya. “Yes Azrin. Anything?” Zakuan menghentikan suapannya. “Maafkan saya mengganggu. Ada barang untuk Encik Zakuan dari Flower Jewellery. Katanya, barang ini perlu diterima oleh Encik Zakuan sendiri.” Zakuan berfikir sejenak, cuba mengingati kembali kalau-kalau dia ada memesan sesuatu. “Oh ya Azrin, biar saya bercakap dengannya.” Pinta Zakuan setelah mindanya mengimbas sesuatu.
Setelah memberi kebenaran kepada Azrin untuk menerima bagi pihaknya, Zakuan pantas menghabiskan hidangan tengaharinya. Dia tersenyum sendiri mengenangkan hadiah yang telah ditempah khas buat ibunya sempena hari lahir yang ke lima puluh lima. Esok adalah hari lahir Puan Zakiah. Dia telah berpakat dengan adiknya untuk mengadakan satu majlis buat ibu mereka. Pastinya hadiah itu akan menjadi kejutan yang amat bermakna. Zakuan tersenyum bahagia. Tak sabar untuk melihat reaksi ibunya esok.
Usai makan tengahari, Zakuan terus menuju ke pejabatnya. Dia tercari-cari bungkusan hadiah ibunya di atas meja Azrin namun hampa. Dia menapak ke biliknya dan melihat ada sebuah bungkusan di situ. “Pasti itu hadiahnya,” desis Zakuan. Zakuan lantas membuka kotak tersebut. Demi terpandangkan sahaja kilauannya yang memukau mata, dia tersenyum kecil. Sedang dia cuba untuk menyimpan bungkusan tersebut ke dalam beg, pintu biliknya diketuk. Terjengul kepala Azrin menghentikan gerak tangannya. “Dah lewat sepuluh minit untuk mesyuarat ni, semua orang dah tunggu.” Zakuan pantas melihat jamnya. “Alamak, saya langsung tak sedar.” Zakuan meletakkan kembali bungkusan hadiah tersebut di atas meja. Dia mencapai diari dan bergegas mengekori Azrin.
Ketika itu juga, Emylia berjalan lenggang-lenggok memasuki ruang pejabatnya. Ketika melintasi bilik Zakuan, hatinya bagaikan terpanggil untuk mengintai bilik ketuanya itu. Sedang dia mengintai-intai, tiba-tiba matanya tertancap pada bungkusan beg kecil yang indah dihiasi reben yang terletak di hujung meja Zakuan. Hadiah apa pula tu? Perasaan ingin tahu membuak-buak di dalam dadanya. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan, setelah memastikan tidak ada sesiapa yang melihatnya, Emylia pantas menyelinap ke dalam bilik sederhana besar itu.
Beg kecil itu dibuka,. Dilihatnya sebuah kotak comel dihiasi reben merah. Emylia tersenyum sumbing. Akal jahatnya menguasai minda. “Ya, inilah masanya yang aku tunggu-tunggu, saat untuk membalas dendam. Padan muka kau Zakuan. Pasti hadiah ini untuk orang yang begitu istimewa. Nasib kaulah, kan aku dah kata, ada ubi ada batas hari ini aku pasti balas.” Emylia tersengih gembira.
BERSAMBUNG...
No comments:
Post a Comment