Tuesday, February 2, 2016

Tuhan, Ampunkan Dia! - As Samsudin

Teks: iammasitahsamsudin.blogspot.com
Foto: Carian Google



Tajuk: Tuhan, Ampunkan Dia!
Karya : As Samsudin

Pagi itu aku dikejutkan dengan suara bising di luar. Sayup-sayup terdengar suara manusia saling bertingkah. Rendah tinggi nadanya. “Aduh, apa pula tu?” Aku menggosok-gosok mata yang tidak gatal. Geram rasanya bila waktu tidurku diganggu. Aku cuba mengamati jarum jam di dinding menerusi cahaya yang masuk melalui lubang dinding bilikku. Kulihat jam menunjukkan pukul 5:30 pagi. Aku cuba memejamkan mata untuk tidur kembali namun aku terkejut apabila mendengar dentuman yang keras di bahagian dapur. Aku membesarkan telinga, cuba mengamati suara yang kedengaran.

“Apa ni mak? Mana ada aku ambil tong gas tu. Mak jangan pandai-pandai nak tuduh saja. Selidik dulu!” begitu keras sekali suara Angah memarahi ibu mertuaku. Aku beristighfar di dalam hati. “Angah ni buat hal lagi rupanya. Tak serik-serik.” Aku menarik nafas panjang. Rasa mengantukku hilang begitu sahaja. Aku terus mencapai tuala dan melangkah keluar menuju ke bilik air.

Ketika berjalan melintasi ruang dapur, kelihatan bayang Angah dan ibu mertuaku di luar. Aku terus ke bilik air, malas mahu mencampuri urusan mereka. Angah, adik iparku ini memang selalu buat hal. Lepas satu, satu. Kalau datang anginnya habis satu rumah dihamputnya. Aku sering melihat dia bergaduh dengan ibu mertuaku, juga adik iparku yang lain.Bukan itu sahaja, malah kami sering kehilangan barang-barang berharga.

Angah terlibat dengan dadah. Ya, itu berita yang kudengar daripada mulut suamiku. Sejak bila, aku pun tak pasti. Namun dari pemerhatian aku, memang terdapat perubahan yang amat ketara pada fizikal Angah. Dia kelihatan kurus melidi, matanya merah berair. Walaupun kami sekeluarga tidak pernah melihat dia mengambil benda haram itu namun, aku yakin dia terlibat. Apatah lagi dia pernah ditahan di Cameron Highland kerana dadah tetapi senyap-senyap diikat jamin oleh ibu mertuaku.

Pernah juga aku suarakan pada suamiku agar membawa Angah berubat namun cadanganku hanya dipandang sepi. Suamiku memberikan alasan bahawa terlalu sukar untuk mereka memujuk Angah. Pantang disuarakan tentang itu pasti mereka akan diherdik kembali. Akhirnya, masing-masing membiarkan Angah dengan dunia hitamnya.

Selesai mandi, aku terus masuk ke bilik. Perang mulut di antara Angah dan ibu mertuaku masih jua berlarutan. Aku berasa geram melihat gelagat Angah yang langsung tidak menghormati ibunya. Tak lama kemudian, aku terdengar deruman enjin kereta suamiku pulang dari kerja. Belum sempat suamiku masuk ke dalam rumah, aku terdengar suara ibu mertuaku menjerit memanggil namanya.

“Along! Along!”

Aku mendengar derap tapak kaki suamiku berlari menuju ke dapur. Keadaan menjadi bertambah bising. Suara hiruk-pikuk bercampur dengan suara tangisan. Aku kelam-kabut keluar apabila mendengar suara nyaring suamiku memanggil ditambah dengan suara ibu mertuaku yang menangis.

“Ya Allah, kenapa ni bang? Apa dah jadi ni?” Aku terus meluru ke arah ibu mertuaku yang terbaring di atas lantai. Kulihat suamiku sedang bergelut dengan Angah. Aku semakin kaget apabila ternampak sebilah pisau pemotong roti berada di tangan adik iparku itu. Lagaknya yang cuba menetak suamiku menyebabkan aku menempik kasar.

“Angah, bawa mengucap Angah. Buang pisau tu. Angah dah gila ke? Itu kan abang kau. Apa yang dah merasuk kau ni?”

“Ah, kakak jangan nak masuk campurlah! Nanti kakak pun kena sama!” Angah mengherdikku sambil menunjuk pisau ke arahku.

Tiba-tiba suamiku tergelincir lalu jatuh ke tanah. Angah mengambil peluang itu untuk menetak leher suamiku yang terdedah. Suamiku menahan dengan sikunya. Dalam keadaan kelam-kabut itu aku terus meluru ke arah mereka. Namun sudah terlambat bila aku melihat tangan suamiku sudah pun berlumuran darah.

“Abang…!” Aku terus menolak tubuh Angah dengan sekuat tenaga. Angah jatuh ke tepi. Pisau pemotong roti terpelanting ke tanah. Suamiku dengan tangan yang berlumuran darah terus melompat dan mengilas tangan Angah ke belakang. Aku semakin panik.

“Ika, cepat cari tali. Cepat Ika.” Arah suamiku.

Aku berlari ke dapur. Habis semua laci kuselongkar namun tali yang dicari tidak juga kutemu. “Tali tak ada. Kat mana?” Aku tidak dapat menahan air mata daripada terus mengalir. Nyda, adik iparku yang sedari tadi menyorok ketakutan di belakang pintu berlari ke belakang rumah.

“Akak, nah tali.” Aku pantas membawa tali kepada suamiku.

“Ikat tangan Angah ni, cepat!” Dengan terketar-ketar aku mengikat tangan Angah sekuat yang mungkin. Angah meronta-ronta dengan kuat. Kakinya menendang angin ke kiri dan ke kanan. Setelah mengikat tangan, aku mengikat pula kaki Angah dengan bantuan suamiku.

Selepas itu aku berlari masuk ke bilik, mencari kain untuk membalut luka di tangan suamiku. Patutlah tangannya penuh dengan darah, rupa-rupanya tetakan Angah telah terkena tiga jari tangan kanannya. Pasti ada urat yang putus, desisku.

Aku memandang tajam ke arah Angah yang sedari tadi memerhatikan gelagat kami sambil menyumpah-nyumpah. Entah apa yang disumpahnya aku pun tak pasti. Butir bicaranya tidak dapat kufahami. Keadaan Angah kulihat amat teruk sekali, matanya merah menyala, sekejap dia menunduk dan sekejap lagi dia memanggungkan kepala. Keadaannya yang lali bagaikan berada di suatu dunia yang lain.

“Along, tangan Mak. Kenapa dengan tangan Mak ni, Along?”

Aku menoleh ke arah ibu mertuaku. Kelihatan dia sedang mengerang kesakitan. Mukaku terasa panas. “Tangan Mak patah ke?” Aku tidak tahu kepada siapa soalan itu ditujukan. Kami berdua menerpa ke arah ibu mertuaku. Dalam keadaan yang terpaksa menahan kesakitan akbat tetakan, suamiku memeriksa tangan ibunya.

“Pergi cari kain, Ika. Buat andung untuk tangan Mak ni. Mungkin patah semasa Mak jatuh tadi kot.” Suamiku bergerak ke arah Angah. Dia menampar pipi Angah dengan tangan kirinya. “Ingat Angah, kalau sampai terjadi apa-apa kat Mak, nahas kau!”

Aku hanya menurut kata suamiku. Tangan ibu mertua kubalut dengan cermat. Mujurlah aku pernah mengambil kursus pertolongan cemas semasa zaman persekolahan. Walaupun ingat-ingat lupa, aku masih mampu melakukannya.

“Eh, tengok Angah tu? Kenapa dengan dia?”

Serentak kami menoleh ke arah Angah. Aku melihat adik iparku itu seolah-olah sesak nafas. Seperti nak terkena sawan pun ya juga. Dadanya turun naik tidak sekata. Aku dan suamiku berbalas pandangan.

“Cepat buka tali tu, Ika.” Ibu mertuaku sudah pun meraung. Aku hanya membatukan diri. Teragak-agak untuk membuka ikatan tersebut. Tiba-tiba Nyda menyampuk, “Tak payah buka Kak, Mak. Biarkan dia. Biar mati pi.”  

Aku tahu Nyda telah lama memendam rasa dengan sikap Angah. Manakan tidak, dia pun selalu menjadi bahan hamputan Angah.

“Dia berlakon ja tu, Mak.” Aku pula menambah.

“Tolonglah Mak, Ika. Tolong buka ikatan tu. Kesian kat Angah, kalau jadi apa-apa kat dia macamana?” Rayu ibu mertuaku sambil menangis teresak-esak.

Aku berasa serba-salah melihat keadaan ibu mertuaku. Memang betullah kata orang, ibu mana yang sanggup melihat anaknya dalam kesusahan. Biar sejahat mana pun anak itu, seorang ibu akan tetap membelanya.

Dengan perasaan berat, aku membuka ikatan tangan Angah. Kakinya aku biarkan terikat. Kemudian kami membawanya masuk ke dalam bilik dan membaringkannya di atas katil. Ibu mertuaku duduk di sisinya sambil mengusap-usap kepala Angah. Aku segera beredar ke bilikku. Semakin lama aku di situ semakin geram hatiku melihat ulah ibu mertuaku. Bagiku, sayangkan anak tangan-tangankan. Jika tidak, beginilah jadinya. Langsung tidak boleh ditegur dan dimarah, Alih-alih kita juga yang terpaksa menanggung kesusahan akibat perangai buruk mereka.

Telefon bimbit segera kucapai. Aku mendail nombor Zila, kawan baikku. Aku menceritakan kepadanya semua yang telah berlaku. Zila amat terkejut dengan apa yang didengarinya. Dia menasihatkanku agar membuat laporan di balai polis berdekatan.

“Ini kes berat, Ika. Kau jangan nak kesiankan adik ipar kau tu. Hari ini dia tetak suami kau, esok lusa entah-entah habis satu rumah tu ditetaknya.” Kata-kata Zila terngiang-ngiang di telingaku. Aku mengeluh keras. Tidak tahu apa yang harus aku lakukan. Bagiku, kata-kata Zila tu ada benarnya. Kalau diikutkan hati yang marah, ingin sahaja aku melaporkannya kepada pihak polis. Tapi awal-awal lagi ibu mertuaku sudah merayu agar kami tidak membuat laporan ke atas adik iparku itu.

Aku melepaskan keluhan panjang. Sukar untukku membuat keputusan. Ditelan mati emak, diluah mati bapa. Aku mencapai kunci kereta. Enjin kereta segera kuhidupkan. Aku harus membawa suami dan ibu mertuaku ke hospital. Luka di tangan suamiku itu tidak boleh dibiarkan terdedah lama. Takut nanti dijangkiti kuman, lain pula jadinya.

“Apa susahnya, Ika. Kau usung semuanya terus ke balai. Lagi senang sebab bukti semua ada. Dengan tangan yang berdarah tu, ditambah dengan keadaan ibu mertua kau, aku yakin polis tak akan teragak-agak menahan adik ipar kau tu.” Aku teringat saranan Zila. Betul juga kata Zila, usung semuanya ke balai. Habis cerita.

Hampir lima belas minit berlalu, bayang suami dan ibu mertuaku tidak juga kelihatan. “Apalah yang dibuat kat dalam tu,” aku mengomel sendiri. Baru aku hendak masuk ke dalam rumah, suami dan ibu mertuaku pun muncul.

“Jomlah.” Suamiku memimpin emaknya masuk ke dalam kereta. Aku mengerutkan dahi. “Angah?” soalku. “Biarkan dia.” Pendek sahaja jawapan suamiku.

Setibanya di Hospital Seberang Jaya, aku membawa mereka terus ke Bahagian Kecemasan. Setelah melalui pelbagai prosedur untuk pendaftaran, ibu mertuaku di bawa ke bilik rawatan. Menurut kata doktor, tangannya perlu diimbas untuk mengenalpasti sekiranya ada tulang yang patah. Suamiku masih menunggu di situ. Pihak hospital terpaksa mengikut peraturan yang ada memandangkan luka di tangan suamiku bukan luka biasa. Kami disoal-siasat bagaikan baru sahaja terlibat dengan kes jenayah.

Ya, aku faham bahawa kami harus mengikut prosedur yang ditetapkan. Luka tetakan memang mengundang seribu satu andaian. Kami telah cuba meyakinkan doktor bahawa hal ini berlaku akibat pergaduhan adik-beradik. Dengan kata lain masalah keluarga namun doktor seakan-akan cuba mengaitkannya dengan kes polis. Hati yang geram bertambah geram. Dalam keadaan kecemasan begini, aku tidak mampu berfikir secara rasional. Aku berasa marah namun tidak tahu hendak dilepaskan kepada siapa. Kalaulah Angah ada bersamaku, pasti lunyai dia, aku kerjakan.

Darah terus mengalir keluar. Kain yang kubalut tidak dapat menampungnya lagi. Setitis demi setitis menitik ke lantai. Aku semakin resah. Akhirnya, doktor menggunakan kuasa budi bicaranya untuk merawat suamiku. Hampir tiga jam menunggu, barulah semuanya selesai.. Tepat jangkaanku, urat jarinya putus. Doktor terpaksa membelah jari suamiku untuk mencari urat yang putus dan menyambungnya kembali.

Nasib ibu mertuaku pula tidaklah seburuk yang kami sangka. Alhamdulillah, tangannya tidak patah tetapi cedera di bahagian bahu dan tulang selangka. Kata doktor, sendinya terkeluar. Doktor telah membalut tangan ibuku dengan kemas untuk mengelakkannya masuk angin. Lepas ni bolehlah pergi urut, desisku.

Kami meninggalkan perkarangan hospital menjelang lewat petang. Sesampai sahaja di rumah, kelibat Angah tidak kelihatan. Pintu biliknya terkunci rapat. Mungkin dia ada di dalam, desisku. Aku merebahkan badan ke katil, terasa amat letih sekali setelah mengharungi detik paling cemas dalam hidupku. Aku merenung wajah suamiku yang terlena keletihan. Mataku menjalar ke tangannya dan terhenti di situ. Melihat tangannya yang berbalut membuatkan aku mula terfikir tentang masa hadapan.

Selama ini, suami dan ibu mertuaku berniaga sendiri menjual pelbagai jenis makanan secara bergerak di kawasan kilang di sekitar Prai. Dengan keadaan mereka begini, pasti punca pendapatan kami sekeluarga akan terjejas. Manakan tidak, luka di tangan suamiku perlukan masa untuk sembuh. Ibu mertuaku pula pasti pergerakannya terbatas. Gajiku? Apalah yang hendak diharapkan sangat dengan gajiku yang kecil ini. Aku mengeluh panjang, Hendak dikesalkan pun tiada gunanya. Nasi dah jadi bubur.

Aku cuba melelapkan mata. Tiba-tiba terdengar siren kereta polis, semakin lama semakin kuat seolah-olah menuju ke rumahku. Aku bingkas bangun lalu mengejutkan suamiku. Kami menapak keluar. Kelihatan tiga orang anggota polis sedang berjalan menuju ke rumah kami, bersamanya adalah Nyda dan bapa mertuaku.

Tahulah aku bahawa bapa mertuaku telah membuat laporan polis sebaik sahaja mendengar cerita daripada Nyda. Aku memeluk ibu mertuaku yang menangis teresak-esak. Angah kulihat hanya diam tidak membantah bila dia dibawa pergi oleh pihak polis. Dia memandang sayu ke arah ibunya. Aku melihat ada air mata yang mengalir di pipinya. Hatiku terasa sebak.

Ya Allah, Kau ampunkanlah semua dosa dia. Kau berilah rahmatMu pada dia. Kau tunjukkanlah dia jalan yang benar, jalan yang Kau redhai. Kau keluarkanlah dia dari belenggu dadah yang telah menggelapkan masa depannya. Aku melafazkan doa di dalam hati.



Biar apa pun yang terjadi, dia tetap adik iparku. Walaupun kami harus membayar dengan kesengsaraan yang bukan sedikit akibat perbuatannya namun, kami tetap mengharap kepulangannya suatu hari nanti. 

TAMAT.

Nota: Cerpen ini dihasilkan pada Julai 2014 untuk Pertandingan Menulis Cerpen AADK anjuran wecareweserve.org sempena Hari Antidadah Antarabangsa 2014. Dan cerpen ini tak berjaya menarik pilihan juri. Kawan saya kata cerita ada tapi feel tak ada. Ok, tak pa nanti kita pi cari feel dulu :) 


~wit♥~

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...